CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Khamis, 29 Disember 2011

Kurikulum Bahasa Melayu

         Selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996, bahasa Melayu ialah mata pelajaran teras di semua sekolah rendah dan menengah. Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan rakyat Malaysia. Pendidikan bahasa Melayu berhasrat membina rasa bangga terhadap bahasa yang mencerminkan akal budi dan pemikiran rakyat, juga berperanan sebagai pemangkin kepada semangat cinta akan tanah air yang dikongsi bersama oleh semua rakyat dalam satu wawasan.
          Pendidikan bahasa Melayu mempunyai potensi untuk dimartabatkan dan diperluas ke peringkat antarabangsa menerusi teknologi maklumat dan komunikasi.
          Kurikulum bahasa Melayu sekolah rendah dan menengah bertujuan untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Kurikulum bahasa Melayu menyediakan murid untuk menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan menggunakan peraturan tatabahasa secara betul dan tepat. Murid mampu mengungkapkan bidang ilmu daripada pelbagai disiplin atau mata pelajaran di samping mengembangkan kemahiran berfikir.
          Matlamat kurikulum bahasa Melayu adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan urusan harian. Pada akhir pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu murid sekolah rendah dapat menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata, tatabahasa dan sebutan yang betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

(Sumber: Kementerian Pelajaran Malaysia)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan